Analisis Perbandingan Perambahan Melayu Brunei dan Peribahasa Melayu Malaysia yang Bersumberkan Objek 'Ayam' dari Sudut Pragmatik

Authors

  • Siti Nurul Haziqah Universiti Brunei Darussalam
  • Hasmidar Hassan Universiti Brunei Darussalam

DOI:

https://doi.org/10.36312/svz59f08

Keywords:

peribahasa, perambahan, Melayu, Brunei, Malaysia, teori Relevans

Abstract

Peribahasa merupakan ungkapan yang mendukung makna tersirat yang digunakan oleh penutur untuk menyampaikan kritikan, teguran, nasihat dan pujian dengan cara yang halus. Peribahasa juga mencerminkan kebijaksanaan akal budi, nilai, etika, falsafah hidup dan pengamatan yang tinggi penciptanya terhadap simbol atau objek yang digunakan dalam peribahasa yang dicipta. Dalam konteks peribahasa di Nusantara, peribahasa yang terhasil seringkali menggunakan objek flora dan fauna serta ciri dan tingkah laku objek ini sebagai kiasan terhadap tingkah laku manusia. Oleh itu, kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk meneliti penggunaan simbol ‘ayam’ dalam perambahan Melayu Brunei dan peribahasa Malaysia serta membandingkan bentuk serta makna yang didukung oleh peribahasa yang bersumberkan objek ‘ayam’. Selain itu, kajian ini juga menganalisis pengaruh latar belakang sosial dan budaya serta sudut pandang masyarakat di dua buah negara ini terhadap pembinaan peribahasa yang menggunakan objek yang sama. Berdasarkan pendekatan pragmatik, iaitu teori Relevans, kajian ini menganalisis perambahan Melayu Brunei dan peribahasa Melayu Malaysia bagi menjelaskan maksud tersirat peribahasa ini dan kewajaran pemilihan objek ‘ayam’ dalam peribahasa. Kajian ini mendapati bahawa daripada 86 peribahasa yang menggunakan leksikal ‘ayam’, hanya 12 perambahan daripada Melayu Brunei dan 74 peribahasa daripada Melayu Malaysia. 35% daripada jumlah tersebut mempunyai bentuk dan makna yang sama, 42% mempunyai bentuk yang berbeza tetapi mempunyai makna yang sama, dan 23% berbeza bentuk dan berbeza makna. Persamaan ini menunjukkan perkongsian sudut pandangan dunia dan latar budaya yang sama dalam masyarakat Melayu serantau, manakala perbezaannya mencerminkan pengaruh konteks sosio-budaya dan leksikal tempatan. Kajian ini juga menunjukkan bahawa masyarakat Melayu di kedua-dua negara mengamalkan prinsip komunikasi yang berlapik melalui peribahasa untuk memberikan nasihat, teguran, dan sindiran secara halus mengikut prinsip Relevans. Kajian ini diharapkan dapat dimanfaatkn oleh para penyelidik, dan masyarakat amnya untuk memahami dengan lebih mendalam tentang warisan peribahasa dalam rumpun Melayu secara pragmatik, dan terus memperkukuh kajian dalam bidang ini dari perspektif baharu.

Downloads

Published

2025-11-30

Issue

Section

Articles

How to Cite

Khairur Rijal, S. N. H. S., & Hassan, H. (2025). Analisis Perbandingan Perambahan Melayu Brunei dan Peribahasa Melayu Malaysia yang Bersumberkan Objek ’Ayam’ dari Sudut Pragmatik. International Journal of Linguistics and Indigenous Culture, 3(3), 214-238. https://doi.org/10.36312/svz59f08